Tuesday, February 3, 2009

Satu siri pemergian mereka yang ku kenal

Sejak 21 Ogos 2008, beberapa hari menjelang Ramadhan 1209 seorang demi seorang individu yang aku kenali pergi meninggalkan dunia fana ini, dijemput Ilahi. Perjalanan hidup mereka berbeza-beza.


21 Ogos 2008
Malam Jumaat. Pak Lang Anuar (Hj Shamsir Hj Ismail),suami kepada Mak Lang Tehah (adik emak, berlainan ayah), setelah bertahun terbaring di katil. Mulanya diserang strok, sebelah badan tidak berfungsi sepenuhnya. Kemudian terjatuh yang menyebabkan patah tulang pelviknya, menyebabkan dia tidak boleh lagi bergerak banyak, sehingga ke akhir hayatnya. Dikelilingi oleh anak-anaknya, sempat menjamah bubur yang disuapkan oleh anak perempuannya. Jenazahnya disemadikan di Perkuburan Islam Kg. Melaka, Cheras. Berhampiran dengan Tan Sri Nasimudin NAZA.

12 Oktober 2008

Ahad, malam Isnin. 13 Syawal 1429H. Prof Dato' Dr Abdul Salam Abdullah (Lahir 28 Oktober 1946). Allahyarham telah menderita akibat Parkinson. Penyakitnya semakin membataskan aktiviti sejak bersara wajib dari perkhidmatannya. Bermula dari food poisoning pada bulan Januari 2008, terlantar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, hampir 10 bulan. Pada 22 September, telah dibawa pulang ke rumahnya di Taman Dato Shahbandar. Aku sempat menziarahinya semasa hari Raya ketiga (Jumaat, 3 Okt 2008). Sayu sungguh aku memandangnya, berat sungguh penderitaannya. Aku mula mengenali sejak tahun 1992, semasa di tahun 2, di FKVSP UPM. Selamat dikebumikan di Makam Hj Said, Seremban. Semoga Allah merahmatinya.

10 November 2008
Tok Ngulu Yasin meninggal di Hospital Serdang. Jenazahnya dibawa ke kampung untuk dikebumikan. Khabarnya Allahyarham menziarahi anak cucunya, kemudian mengalami masalah pernafasan, semasa dalam perjalanan dari Gemas ke Serdang. Hampir sebulan dirawat di Hospital Serdang. Dulu berniaga di kedai nak masuk ke kampungku, sekarang masih lagi diusahakan oleh warisnya.

18 November 2008
Hj Jalil Tintum. Suami kepada Wan Sipah (emak saudara tiri kepada ibuku). Meninggal semasa berbual-bual dengan Wan Sipah di tangga depan rumahnya, Rumah Murah Astana Raja, kemudian tiba-tiba rebah ke tanah. Tidak sempat bawa ke Hospital. Dikebumikan di tapak perkuburan Rumah Rakyat Astana Raja. Allahyarham juga tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinan anaknya pada 20 Dis 2008 (Sabtu.

(Arwah abah meninggal pada 20 Nov 1989)

18 Januari 2009. Mak Teh (Puteh bt Hassan, adik beradik abah) meninggal di Kg Pulau Bukit. Sebelum tu pada 20 Disember 2008, Makteh dimasukkan ke wad 2 Hospital Tampin, dijangkiti Chikunguynya. Ramai anak-anak saudara dan adik-beradiknya yang datang ke pengebumiannya. Ramai juga yang aku tak kenal, sebab jarang jumpa. Mak Teh sudah lama hidup bersendirian, tidak bercampur dengan orang ramai. Hanya beberapa orang sahaja yang boleh mendekatinya. Seingat aku, sejak aku kenal dia (dari tahun 70an lagi). Abangku banyak membantu semasa hayatnya, termasuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam bentuk kewangan dan juga rumah untuk rakyat miskin.

1 Februari 2009 (AHAD)
Mak Itam Esah. Isteri Pak Itam Pilus, meninggal di rumahnya di F32, Jln Melati, FELDA Sendayan. Selamat dikebumikan sebelum Zohor 2 Feb 2009. Ramai juga saudara sebelah abah datang menziarah. Sepupunya Baharom b Ujang (dia macam abang angkat aku semasa sekolah rendah dulu) turut hadir.

Kusedari bahawa salah satu cara mengeratkan hubungan silaturahim ialah menziarahi keluarga yang kematian ahlinya.(Terutamanya generasi sewaktu dengan emak dan abah. Kebanyakan mereka sudah mulai uzur.)Ramainya saudara mara yang tidak dikenali. Sebelah abah ada 10 adik beradik, tak sampai 20% yang aku kenal.

InsyaAllah, satu hari nanti akan ku usahakan perjumpaan ahli-ahli keluarga dari sebelah abah (ini juga harapan arwah abah suatu ketika dulu).

Kepada yang pergi kusedekahkan Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat kalian dan ditempatkan di kalangan mukmin sejati.

No comments:

Post a Comment