Thursday, February 28, 2013

Mereka pergi buat selamanya

Sudah beberapa tahun aku tidak mengemaskinikan blog ini, hari ini terdetik semula untuk mengetuk papan kekunci ini... Claudia Theophilus 2 Februari 2013, Claudia Theophilus, seorang wartawan Al-Jazeera, terbunuh dalam satu insiden kemalangan senjata api ketika bercuti di Bakleen, Lebanon. Beliau tiba di Lebanon pada 28 Jan 2013. Kemalangan ini mendapat liputan di dalam akhbar utama di tanah air. Beliau merupakan rakan sekelas semasa di tingkatan 1 Darwin, Sekolah Tuanku Jaafar (sekarang dikenali sebagai Sek. Men. Sains Tuanku Jaafar), Kuala Pilah. Kami terputus hubungan, sehinggalah bertemu semula di laman sosial, Facebook. Sempatlah berinteraksi beberapa kali dengannya, maklumlah kerjayanya sebagai wartawan menghadkan waktunya untuk berinteraksi bersama sahabat semua. Pemergiannya menjadi satu tamparan buat keluarganya, kerana beliau merupakan penyumbang terbesar ekonomi keluarganya, kerana ayahnya seorang pesara, adik lelakinya kini hidup terlantar, sejak terlibat dalam kemalangan dua tahun sebelumnya. Urusan membawa pulang jenazahnya berjalan baik, ditambah dengan bantuan Duta Besar Malaysia di Lebanon, Mr Ilango Karuppannan, yang juga pernah bersekolah di sekolah yang sama. Walaupun ada sedikit campurtangan orang politik. Jenazahnya tiba di tanah air pada 9 Feb dan dibawa ke rumahnya di Taman Bukit Kepayang. Penghormatan terakhir diberikan kepada beliau di Gereja Visitation, Jalan Templer, Seremban sebelum dibakar di Krematorium Jalan Sultan Ismail, pada 11 Februari 2013. Nurin Aina Nadiah binti Jamalludin 12 Februari 2013, aku dikejutkan lagi dengan berita pemergian anak bongsu sepupuku, Zaleha Mohd Yusof, iaitu Nurin Aina Nadiah binti Jamalludin,berusia hampir 5 tahun, mengikut jejak langkah abang dan kakaknya, setelah menderita penyakit sama, Azim ( 3 tahun lebih pada 2002) dan kakaknya, Awin (4 tahun lebih pada tahun 2006). Besar sungguh ujian yang melanda keluarga mereka ini, semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal buat mereka, insyaAllah. Mohd Zaidi Ahmadin 21 Februari 2013, sekali lagi berita sedih kuterima. Kali ini pemergian seorang sahabat STJ juga. Walaupun sempat bersama sehingga tingkatan 3, sebelum menyambung persekolah di Seremban. Kali pertama dan terakhir dapat berhubung ialah pada Oktober 2010, itu pun selepas dijejaki oleh sahabat STJ juga iaitu Yazid Harun, yang juga sempat bersama sehingga tahun 1986. Kisah hidup yang menyayat hati, tersisih dari keluarga selepas tersalah memilih jalan hidup. Namun Allah memberinya kesempatan untuk kembali ke jalan yang lurus, Surau Al-Islah AU2, Taman Keramat, menjadi tempat kediaman sehingga akhir hayatnya. Allahyarham diberikan tugas sebagai pembantu siak. Ironisnya sahabatku Yazid sering berkunjung ke sana, tidak menyedari keberadaannya di situ. Begitu juga seorang lagi sahabatku Borhan (satu sekolah sejak darjah 3 di Astana Raja, dan di STJ), yang menetap berhampiran surau tersebut, yang menjadi jemaah regular di situ. Allahyarham Zaidi dikatakan terjatuh dan meninggal di tempat kejadian, semasa berwuduk untuk solat maghrib. Pihak surau, dapat menghubungi kakaknya ("Angah"), kebetulan ada tersimpan di dalam telefon bimbitnya. Daripada kakaknyalah maklumat diperolehi oleh sepupunya dan terus memaklumkan kami pada posting yang memaparkan gambar Allahyarham. Alhamdulillah sempat menunaikan solat jenazah buatnya dan mengiringinya ke persemadian terakhir di Perkuburan Islam KL-Karak, Taman Selasih, Gombak. Semoga Allahyarham beroleh husnul khatimah, diampunkan segala dosa dan dihimpunkan bersama mereka yang beriman. Pemergian mereka jelas suatu tazkirah daripada Allah SWT tentang kepastian itu, tanpa mengira usia, keadaan dan ketika.

Tuesday, March 10, 2009

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

Dr Awang Sariyan
Mon | Mar 09, 09 | 10:24:34 pm MYT

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
Iklan

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.

------

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University _

Thursday, March 5, 2009

Bahasa Melayu mati, bangsa Melayu terkubur! - Prof Dr Wan Abu Bakar

Bahasa Melayu mati, bangsa Melayu terkubur! - Prof Dr Wan Abu Bakar
Salmiyah Harun
Thu | Mar 05, 09 | 10:34:25 am MYT
Dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan semakin hebat disanggah. Pelbagai pandangan dari tenaga akademik meyakinkan lagi betapa buruknya dasar yang dipertahankan oleh BN ini. Harakah berkesempatan mewawancara Prof. Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas dari Jabatan Kejuruteraan Bio Perubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya yang mengajar subjek kejuruteraan dalam bahasa Melayu di universiti. Beliau menyifatkan kesan dasar itu terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu cukup terkesan. Beliau ditemui di pejabatnya oleh wartawan SALMIYAH HARUN dibantu INTAN ABDULLAH (Jurugambar).
Apa pandangan Prof terhadap dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan?

PROF DR IR WAN ABU BAKAR: Bahasa Melayu patut diberikan peluang untuk berkembang sebagai ilmu terutama ilmu sains dan teknologi. Seandainya kita tidak menggunakan lagi bahasa Melayu untuk menguasai atau belajar, maka ilmu bahasa Melayu itu akan terbantut perkembangannya. Saya rasa suatu hari nanti bahasa Melayu akan ketinggalan dibandingkan dengan perkembangan ilmu. Ini sekali gus akan membunuh bahasa Melayu itu sendiri. PPSMI ada orang anggap ia penting tetapi budak-budak yang diberi peluang untuk menerima ilmu ini dengan baik sepatutnya dilakukan dalam bahasa yang mereka fahami.

Asasnya Kementerian Pelajaran meneruskan PPSMI ini kerana bahasa Inggeris amat sesuai untuk bidang sains dan matematik khsusnya dalam era teknologi masa kini. Pendapat Prof?

Semua bahasa sesuai untuk bidang matematik dan sains, malah kalau kita lihat kekuatan bahasa Inggeris sendiri bukan pada sains dan teknologi. Tetapi kekuatannya adalah pada sasteranya. Itulah kekuatan sebenarnya bahasa Inggeris. Sains dan teknologi tidak pentingkan sangat bahasa apa yang digunakan. Sebaik-baiknya dalam bahasa yang kita fahami. Bahasa Melayu juga sesuai seperti bahasa Inggeris. Kedua-duanya sesuai. Sama sahaja tidak ada lebihnya. Dengan syarat kita terus bangunkan bahasa Melayu dengan perkembangan ilmu seperti yang kita lakukan sebelum ini. Kita buat istilah, buat sainstifik dalam bahasa Melayu. Asalkan kita boleh mengajar dalam bahasa Melayu dan tidak akan timbul masalah.

Bagi Prof sendiri, pengalaman mengajar dalam bidang kejuruteraan, yang mana lebih mudah, dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris?

Bagi saya untuk mengajar memang senang dalam bahasa Inggeris sebab saya belajar dalam bahasa Inggeris. Tetapi yang penting bukan saya, tetapi pelajar. Dan pelajar-pelajar kita dari sekolah Melayu dan dari sekolah Cina akhirnya masuk ke universiti. Bahasa Inggeris menjadi asing bagi mereka. Mengajar sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris menjadikan ilmu sains dan matematik itu ilmu yang asing bagi mereka. Tidak bagus. Sebab selama ini mereka menjadikan sains dan matematik sebahagian daripada hidup mereka, kerana itu ilmu bangsa mereka. Jika mereka menerima sains dan teknologi itu, suatu yang asing dan bukan dalam jiwa mereka, tidak bagus untuk mereka dan akhirnya nanti bahasa Melayu akan terasing dalam sains dan teknologi.

Ada sesetengah pihak mengatakan pelajar tidak akan maju dalam bidang yang diceburi khususnya kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya apabila belajar dalam bahasa Melayu. Apa pandangan Prof?

Cuba kita balik semula tahun 60an apabila sains dan teknologi sekolah bukan dalam bahasa Melayu. Kita buat kajian berapa ramai orang Melayu yang ambil sains dalam Bahasa Melayu. Saya bersekolah dalam lewat 60an dalam kelas sains saya ada tiga empat orang sahaja orang Melayu. Sekarang orang Melayu sudah banyak buat bidang sains dan teknologi. Bagi saya itu tidak betul. Kalau ada masalah kemajuan sains dan teknologi pun, ia di peringkat tinggi bukan di peringkat kita mengajar di sekolah-sekolah. Sains dan teknologi yang baru ini, ia diperingkat yang tinggi. Pada masa itu tidak patut ada masalah bagi pelajar kita kerana ia memang wajar belajar bahasa Inggeris. Memang kita tidak nafikan memang pelajar kita patut belajar bahasa Inggeris tetapi melalui kaedah pembelajaran bahasa Inggeris yang biasa kita ikuti sebelum ini. Mengapa disuapkan melalui sains dan matematik.

Sejauhmana berkesannya pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Sedangkan kalau kita lihat negara seperti Jepun, Jerman, Perancis yang menggunakan bahasa mereka akhirnya boleh maju juga...

Saya hidup di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Memang anak-anak saya tidak ada masalah untuk bercakap bahasa Inggeris seperti mana mereka bercakap bahasa Melayu. Tetapi kalau kita pergi keluar Lembah Klang dan bandar-bandar besar, budak-budak kita memang akan merasa terasing jika kita ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Sudahlah ilmu itu bukan ilmu yang senang, asing dan bukan sebahagian daripada budaya mereka.

Jadi mata pelajaran apa yang patut diambil perhatian oleh kerajaan untuk memperkuatkan penguasan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Mungkin Prof ada saranan kepada kerajaan.

Oh! saya rasa kita belajar bahasa Inggeris itu sendiri melalui kedah pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga belajar bahasa Melayu ada kaedah-kaedahnya tersendiri. Bahasa Inggeris ada kaedahnya. Bahasa Melayu ada kaedahnya. Matematik ada kaedahnya begitu juga sains. Kalau betul lah... mengajar sains dan matematik ini bagus, kenapa universiti sekarang ini sibuk mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya apabila sudah masuk universiti sudah pandai bahasa Inggeris. Ada subjek bahasa Inggeris ditawarkan untuk pelajar-pelajar belajar bahasa itu. Pelajar universiti wajib mengikuti kelas bahasa Inggeris. Maknanya sewaktu mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, mereka tidak berjaya menguasai bahasa Inggeris yang cukup.

Jika benar kerajaan menegaskan dasar PPSMI itu baik, mengapa Menteri Pelajaran Hishamuddin tidak mengambil peluang untuk menyahut cabaran debat secara terbuka dengan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub untuk menyatakan kebenarannya?

Saya tengok jawapan Hishamuddin seolah-olah beliau mahu mengubah dasar PPSMI itu. Seolah-olah menyatakan tidak ada guna kita berdebat panjang. Kita akan ubah dasar itu. Bagi saya dia tidak mahu berdebat sebab dia sudah bersedia untuk mengubah dasar itu. Saya rasa begitu. Itu gambaran yang saya dapat.

Menteri Pelajaran dijangka akan menghantar kertas kajian berkaitan PPSMI ini ke kabinet pada hujung tahun ini, tidakkah ianya sudah terlambat?

Itu tidak menjadi masalah. Kalau kerajaan memutuskan untuk membubarkan dasar itu sudah semestinya dasar itu akan dimansuhkan tahun depan. Kalau hendak memansuhkan dasar itu mestinya bermula tahun depan. Sekarang ini kalau buat keputusan memansuhkan terlalu awal, untuk dilaksana. Tetapi bagi saya hujung tahun ini masa yang sesuai.

IKLAN: Ulasan lanjut Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas berkenaan isu ini boleh dibaca pada Harakah Bil 1420 (Edisi Jumaat) bertarikh 6 - 8 Mac yang kini berada dipasaran. Dapatkan di kedai-kedai akhbar berhampiran!- tmj _