Tuesday, March 10, 2009

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

Dr Awang Sariyan
Mon | Mar 09, 09 | 10:24:34 pm MYT

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
Iklan

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.

------

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University _

Thursday, March 5, 2009

Bahasa Melayu mati, bangsa Melayu terkubur! - Prof Dr Wan Abu Bakar

Bahasa Melayu mati, bangsa Melayu terkubur! - Prof Dr Wan Abu Bakar
Salmiyah Harun
Thu | Mar 05, 09 | 10:34:25 am MYT
Dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan semakin hebat disanggah. Pelbagai pandangan dari tenaga akademik meyakinkan lagi betapa buruknya dasar yang dipertahankan oleh BN ini. Harakah berkesempatan mewawancara Prof. Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas dari Jabatan Kejuruteraan Bio Perubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya yang mengajar subjek kejuruteraan dalam bahasa Melayu di universiti. Beliau menyifatkan kesan dasar itu terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu cukup terkesan. Beliau ditemui di pejabatnya oleh wartawan SALMIYAH HARUN dibantu INTAN ABDULLAH (Jurugambar).
Apa pandangan Prof terhadap dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan?

PROF DR IR WAN ABU BAKAR: Bahasa Melayu patut diberikan peluang untuk berkembang sebagai ilmu terutama ilmu sains dan teknologi. Seandainya kita tidak menggunakan lagi bahasa Melayu untuk menguasai atau belajar, maka ilmu bahasa Melayu itu akan terbantut perkembangannya. Saya rasa suatu hari nanti bahasa Melayu akan ketinggalan dibandingkan dengan perkembangan ilmu. Ini sekali gus akan membunuh bahasa Melayu itu sendiri. PPSMI ada orang anggap ia penting tetapi budak-budak yang diberi peluang untuk menerima ilmu ini dengan baik sepatutnya dilakukan dalam bahasa yang mereka fahami.

Asasnya Kementerian Pelajaran meneruskan PPSMI ini kerana bahasa Inggeris amat sesuai untuk bidang sains dan matematik khsusnya dalam era teknologi masa kini. Pendapat Prof?

Semua bahasa sesuai untuk bidang matematik dan sains, malah kalau kita lihat kekuatan bahasa Inggeris sendiri bukan pada sains dan teknologi. Tetapi kekuatannya adalah pada sasteranya. Itulah kekuatan sebenarnya bahasa Inggeris. Sains dan teknologi tidak pentingkan sangat bahasa apa yang digunakan. Sebaik-baiknya dalam bahasa yang kita fahami. Bahasa Melayu juga sesuai seperti bahasa Inggeris. Kedua-duanya sesuai. Sama sahaja tidak ada lebihnya. Dengan syarat kita terus bangunkan bahasa Melayu dengan perkembangan ilmu seperti yang kita lakukan sebelum ini. Kita buat istilah, buat sainstifik dalam bahasa Melayu. Asalkan kita boleh mengajar dalam bahasa Melayu dan tidak akan timbul masalah.

Bagi Prof sendiri, pengalaman mengajar dalam bidang kejuruteraan, yang mana lebih mudah, dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris?

Bagi saya untuk mengajar memang senang dalam bahasa Inggeris sebab saya belajar dalam bahasa Inggeris. Tetapi yang penting bukan saya, tetapi pelajar. Dan pelajar-pelajar kita dari sekolah Melayu dan dari sekolah Cina akhirnya masuk ke universiti. Bahasa Inggeris menjadi asing bagi mereka. Mengajar sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris menjadikan ilmu sains dan matematik itu ilmu yang asing bagi mereka. Tidak bagus. Sebab selama ini mereka menjadikan sains dan matematik sebahagian daripada hidup mereka, kerana itu ilmu bangsa mereka. Jika mereka menerima sains dan teknologi itu, suatu yang asing dan bukan dalam jiwa mereka, tidak bagus untuk mereka dan akhirnya nanti bahasa Melayu akan terasing dalam sains dan teknologi.

Ada sesetengah pihak mengatakan pelajar tidak akan maju dalam bidang yang diceburi khususnya kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya apabila belajar dalam bahasa Melayu. Apa pandangan Prof?

Cuba kita balik semula tahun 60an apabila sains dan teknologi sekolah bukan dalam bahasa Melayu. Kita buat kajian berapa ramai orang Melayu yang ambil sains dalam Bahasa Melayu. Saya bersekolah dalam lewat 60an dalam kelas sains saya ada tiga empat orang sahaja orang Melayu. Sekarang orang Melayu sudah banyak buat bidang sains dan teknologi. Bagi saya itu tidak betul. Kalau ada masalah kemajuan sains dan teknologi pun, ia di peringkat tinggi bukan di peringkat kita mengajar di sekolah-sekolah. Sains dan teknologi yang baru ini, ia diperingkat yang tinggi. Pada masa itu tidak patut ada masalah bagi pelajar kita kerana ia memang wajar belajar bahasa Inggeris. Memang kita tidak nafikan memang pelajar kita patut belajar bahasa Inggeris tetapi melalui kaedah pembelajaran bahasa Inggeris yang biasa kita ikuti sebelum ini. Mengapa disuapkan melalui sains dan matematik.

Sejauhmana berkesannya pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Sedangkan kalau kita lihat negara seperti Jepun, Jerman, Perancis yang menggunakan bahasa mereka akhirnya boleh maju juga...

Saya hidup di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Memang anak-anak saya tidak ada masalah untuk bercakap bahasa Inggeris seperti mana mereka bercakap bahasa Melayu. Tetapi kalau kita pergi keluar Lembah Klang dan bandar-bandar besar, budak-budak kita memang akan merasa terasing jika kita ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Sudahlah ilmu itu bukan ilmu yang senang, asing dan bukan sebahagian daripada budaya mereka.

Jadi mata pelajaran apa yang patut diambil perhatian oleh kerajaan untuk memperkuatkan penguasan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Mungkin Prof ada saranan kepada kerajaan.

Oh! saya rasa kita belajar bahasa Inggeris itu sendiri melalui kedah pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga belajar bahasa Melayu ada kaedah-kaedahnya tersendiri. Bahasa Inggeris ada kaedahnya. Bahasa Melayu ada kaedahnya. Matematik ada kaedahnya begitu juga sains. Kalau betul lah... mengajar sains dan matematik ini bagus, kenapa universiti sekarang ini sibuk mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya apabila sudah masuk universiti sudah pandai bahasa Inggeris. Ada subjek bahasa Inggeris ditawarkan untuk pelajar-pelajar belajar bahasa itu. Pelajar universiti wajib mengikuti kelas bahasa Inggeris. Maknanya sewaktu mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, mereka tidak berjaya menguasai bahasa Inggeris yang cukup.

Jika benar kerajaan menegaskan dasar PPSMI itu baik, mengapa Menteri Pelajaran Hishamuddin tidak mengambil peluang untuk menyahut cabaran debat secara terbuka dengan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub untuk menyatakan kebenarannya?

Saya tengok jawapan Hishamuddin seolah-olah beliau mahu mengubah dasar PPSMI itu. Seolah-olah menyatakan tidak ada guna kita berdebat panjang. Kita akan ubah dasar itu. Bagi saya dia tidak mahu berdebat sebab dia sudah bersedia untuk mengubah dasar itu. Saya rasa begitu. Itu gambaran yang saya dapat.

Menteri Pelajaran dijangka akan menghantar kertas kajian berkaitan PPSMI ini ke kabinet pada hujung tahun ini, tidakkah ianya sudah terlambat?

Itu tidak menjadi masalah. Kalau kerajaan memutuskan untuk membubarkan dasar itu sudah semestinya dasar itu akan dimansuhkan tahun depan. Kalau hendak memansuhkan dasar itu mestinya bermula tahun depan. Sekarang ini kalau buat keputusan memansuhkan terlalu awal, untuk dilaksana. Tetapi bagi saya hujung tahun ini masa yang sesuai.

IKLAN: Ulasan lanjut Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas berkenaan isu ini boleh dibaca pada Harakah Bil 1420 (Edisi Jumaat) bertarikh 6 - 8 Mac yang kini berada dipasaran. Dapatkan di kedai-kedai akhbar berhampiran!- tmj _

Sistem beraja kekal, pelaksanaan yang bermasalah - Prof Dr Aziz Bari

Tarmizi Mohd Jam - Harakah Daily
Thu | Mar 05, 09 | 12:41:09 pm MYT

SHAH ALAM,5 Mac (Hrkh) - Tidak timbul soal membuang sistem beraja kerana apa yang menjadi perbincangan hari ini ialah cara kuasa-kuasa dan kedudukan raja digunakan di dalam sistem yang ada sekarang. Demikian antara kesimpulan forum mengenai Raja Berperlembagaan dan kemelut di Shah Alam baru-baru ini.
Forum anjuran Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) itu disertai oleh dua orang panelis; Peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Dipengerusikan oleh Prof. Madya Zainal Kidam dari UNISEL forum itu turut mengundang Dato Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita Umno, yang bagaimanapun mengundur diri di saat-saat akhir. Seorang pensyarah UKM yang pada awalnya bersetuju untuk mengambil tempat Kamilia juga mengundurkan diri.

0Dalam pembukaannya Abdul Aziz menghuraikan beberapa ciri penting perlembagaan-perlembagaan negeri yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada perlembagaan negara. Katanya di sembilan negeri yang mempunyai raja perlembagaan negeri dibahagikan kepada dua.

Aziz berkata konsep raja berperlembagaan telah bermula sejak Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15 lagi. Beliau menjelaskan meskipun konsep tersebut tidak di dalam bentuk yang ada sekarang Raja-Raja sebenarnya dikekang oleh prinsip Islam yang menjadi tunjang kepada Kanun Melaka.

"Kita perlu membezakan apa yang ada dalam undang-undang yang di dalam konteks kanun itu ialah hukum syariah dengan cerita penglipur lara dan filem yang menggambarkan bahawa sultan mempunyai kuasa mutlak yang tiada batasnya. Sedangkan kita ada peribadi-peribadi seperti Sultan Alauddin Riayat Shah yang mempunyai keperibadian unggul yang malangnya tidak pernah dijadikan filem," katanya.

Hari ini, Aziz berkata, Raja-Raja tidak mempunyai kuasa mutlak meskipun kuasa melantik menteri besar itu disebut sebagai budibicara. �Apa yang mutlak ialah sebelum 1959 apabila menteri besar merupakan lantikan peribadi Raja-Raja. Selepas itu pilihan raya umum diadakan dan sultan dikehendakki mematuhi prinsip demokrasi meskipun peruntukan yang berkenaan menyebut sebagai budibicara�, jelasnya.

Dalam hujahnya Sulaiman Abdullah Raja-Raja melalui zaman getir di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu, kata Sulaiman, Mahathir dianggap raja sebenar kerana tindakan-tindakannya.

Selain Raja-Raja, katanya lagi, badan kehakiman juga turut menerima kesan yang negatif terutamanya apabila bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd. Salleh Abas dipecat pada 1988.

Sulaiman mencadangkan supaya sekurang-kuranya ada dari kalangan Raja-Raja yang mempunyai kelayakan iktisas dalam pengajian Islam.

"Ini kerana ada Raja-Raja yang telah berjaya mendapat kelulusan dalam bidang lain seperti undang-undang dan oleh itu sangat wajar berdasarkan kepada kedudukan mereka sebagai ketua agama untuk Raja-Raja mempunyai kelayakan yang sesuai dalam bidang agama," tegasnya.

Forum yang berlangsung lebih dua jam itu mengundang pelbagai soalan dari hadirin yang rata-rata menimbulkan banyak soalan tentang krisis politik di Perak.

Bagaimanapun di saat akhir forum seorang bekas komando menimbulkan sedikit kegelisahan apabila beliau membangkitkan apa yang beliau rasakan sebagai penghinaan kepada Raja-Raja Melayu.

Tanggapan itu bagaimanapun disanggah oleh Sulaiman yang menyatakan bahawa forum itu sendiri membuat kesimpulan bahawa institusi beraja tetap kekal dan relevan dan apa yang dibincangkan ialah kesilapan dan kekurangan; sesuatu yang wajar dan sihat untuk diteruskan supaya institusi berkenaan sentiasa berada di landasan yang betul.- tmj _

Prof Dr Aziz Bari akui "Sidang Tergempar Dun Perak" sah di sisi Perlembagaan

Tarmizi Mohd Jam
Thu | Mar 05, 09 | 10:05:02 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh)- Sidang tergempar Dun Perak yang terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridhwan, 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada Speaker untuk menetapkan tempat dan lain-lain perkara berkaitan.
Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas tentang 'Tragedi Hitam Demokrasi' di Perak itu, pihak polis awal-awal lagi sudah melanggar Perlembagaan apabila menerima arahan dan perintah dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan dari Speaker yang menjadi kuasa tertinggi dalam dewan.

"Apa yang berlaku sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada speaker untuk menetapkan tempat bersidang," tegas beliau ketika dihubungi.

Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamalauddin boleh mengadap Tuanku Sultan dan persembahkan usul dewan untuk tindakan seterusnya.

Aziz berkata, mahkamah tidak ada kuasa untuk mengeluarkan injunksi kepada dewan. Beliau kesal, pihak pentadbiran negeri (SUK), polis dan lain-lain pihak terpaksa menyekat dan menutup dewan dari digunakan untuk sidang tergempar Dun.

"Mereka (BN) tidak ada pilihan lain," ujar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Aziz mempersoalkan sejak bila seorang setiausaha dewan (Abdullah Antong) diberi kuasa mentafsirkan peraturan tetap dewan sedangkan setiausaha hanya kakitangan biasa yang bekerja di bawah arahan Speaker.

Polis juga, tegas beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang dewan bersidang dan perkara ini telah disebut oleh Speaker, V Sivakumar.

Mengimbas apa yang terjadi pada pagi 3 Mac lalu, insiden di Perak itu cukup menyedihkan kerana ini membuktikan bagaimana institusi rakyat seperti pentadbiran awam termasuk polis yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak serta menjunjung perlembagaan, rela dijadikan 'kuda tunggangan' oleh pihak tertentu, kata Aziz.

"Demokrasi tidak akan makmur tanpa kerjasama insititusi itu. Anehnya Zambry tidak mengaku mengeluarkan arahan menutup bangunan sekretariat. Begitu juga dengan Dato' SS. Jadi, bagaimanapun OCPD terus tidak membenarkan ahli dewan masuk?" soal Aziz kehairanan.

Dari satu sudut, ini telah menimbulkan persoalan, "Apa asas pihak polis untuk tidak membenarkan 28 Adun Pakatan Rakyat masuk ke Dewan? Takkan mereka (polis) tak kenal Speaker? Takkan Adun-Adun Pakatan ini dianggap pengganas dan penjenayah? Ini perlu dijawab oleh pihak polis."

Tegas Aziz lagi, insiden di Perak itu gagal menyuburkan proses demokrasi kerana institusi awam seperti polis tidak memainkan peranan dengan betul.

IKLAN: Ulasan lanjut Profesor Dr Aziz Bari berkenaan isu ini boleh dibaca pada Harakah Bil 1420 (Edisi Jumaat) bertarikh 6 - 8 Mac

Permainan di zaman kanak-kanak

Aku bercadang untuk menulis tentang permainan yang pernah aku main atau tengok semasa zaman kanak-kanak hingga remaja.
Kebanyakan hampir jarang dilihat dimainkan. Ini kerana kehadiran permainan komputer (sama ada online haupun offline), begitu juga dengan Playstation selain permainan pada telefon bimbit dan lain-lain.
Permainan yang bakal ditulis, mungkin terdapat beberapa variasi mengikut kawasan atau negeri, sama ada dari segi nama mahupun peraturannya. Akan cuba ditulis mengikut maklumat yang pernah diterima.
Bagus juga sambil dapat mengimbau kembali keseronokan zaman kanak-kanak dahulu. Mungkin ada yang pernah memainkan permainan tersebut, adalah dialu-alukan untuk meberi sebarang komen.
Boleh juga nanti diturunkan kepada generasi baru sekarang ini. InsyaAllah akan sentiasa dikemaskini sekiranya berpeluang berbuat demikian.

Politik yang semakin bercelaru....

Hari demi hari situasi politik negaraku yang tercinta semakin bercelaru. Aku semakin bosan dengan perkembangan politik sekarang. Namun begitu ada juga bagusnya, secara tak langsung, rakyat semakin celik undang-undang. Selama ini rakyat biasa jarang ambil tahu tentang peraturan dewan meskipun undang tubuh negeri masing-masing.

Apabila berlaku kecelaruan ini, nampaklah di mana kelemahan undang-undang ciptaan manusia ini. Pelbagai tafsiran diberikan terhadap klausa yang digunapakai. Para pengamal undang-undang turut memberi tafsiran yang adakalanya bercanggah antara satu sama lain.

Aku berharap agar kemelut ini segera berakhir. Begitu juga semoga rakyat Malaysia akan semakin terbuka mindanya, yang selama ini diselaputi momokan satu pihak sahaja. Aku turut berharap demokrasi akan dilaksana dengan penuh keadilan. Hanya Allah sahaja yang Maha Adil.