Thursday, March 5, 2009

Prof Dr Aziz Bari akui "Sidang Tergempar Dun Perak" sah di sisi Perlembagaan

Tarmizi Mohd Jam
Thu | Mar 05, 09 | 10:05:02 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh)- Sidang tergempar Dun Perak yang terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridhwan, 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada Speaker untuk menetapkan tempat dan lain-lain perkara berkaitan.
Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas tentang 'Tragedi Hitam Demokrasi' di Perak itu, pihak polis awal-awal lagi sudah melanggar Perlembagaan apabila menerima arahan dan perintah dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan dari Speaker yang menjadi kuasa tertinggi dalam dewan.

"Apa yang berlaku sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada speaker untuk menetapkan tempat bersidang," tegas beliau ketika dihubungi.

Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamalauddin boleh mengadap Tuanku Sultan dan persembahkan usul dewan untuk tindakan seterusnya.

Aziz berkata, mahkamah tidak ada kuasa untuk mengeluarkan injunksi kepada dewan. Beliau kesal, pihak pentadbiran negeri (SUK), polis dan lain-lain pihak terpaksa menyekat dan menutup dewan dari digunakan untuk sidang tergempar Dun.

"Mereka (BN) tidak ada pilihan lain," ujar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Aziz mempersoalkan sejak bila seorang setiausaha dewan (Abdullah Antong) diberi kuasa mentafsirkan peraturan tetap dewan sedangkan setiausaha hanya kakitangan biasa yang bekerja di bawah arahan Speaker.

Polis juga, tegas beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang dewan bersidang dan perkara ini telah disebut oleh Speaker, V Sivakumar.

Mengimbas apa yang terjadi pada pagi 3 Mac lalu, insiden di Perak itu cukup menyedihkan kerana ini membuktikan bagaimana institusi rakyat seperti pentadbiran awam termasuk polis yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak serta menjunjung perlembagaan, rela dijadikan 'kuda tunggangan' oleh pihak tertentu, kata Aziz.

"Demokrasi tidak akan makmur tanpa kerjasama insititusi itu. Anehnya Zambry tidak mengaku mengeluarkan arahan menutup bangunan sekretariat. Begitu juga dengan Dato' SS. Jadi, bagaimanapun OCPD terus tidak membenarkan ahli dewan masuk?" soal Aziz kehairanan.

Dari satu sudut, ini telah menimbulkan persoalan, "Apa asas pihak polis untuk tidak membenarkan 28 Adun Pakatan Rakyat masuk ke Dewan? Takkan mereka (polis) tak kenal Speaker? Takkan Adun-Adun Pakatan ini dianggap pengganas dan penjenayah? Ini perlu dijawab oleh pihak polis."

Tegas Aziz lagi, insiden di Perak itu gagal menyuburkan proses demokrasi kerana institusi awam seperti polis tidak memainkan peranan dengan betul.

IKLAN: Ulasan lanjut Profesor Dr Aziz Bari berkenaan isu ini boleh dibaca pada Harakah Bil 1420 (Edisi Jumaat) bertarikh 6 - 8 Mac

Permainan di zaman kanak-kanak

Aku bercadang untuk menulis tentang permainan yang pernah aku main atau tengok semasa zaman kanak-kanak hingga remaja.
Kebanyakan hampir jarang dilihat dimainkan. Ini kerana kehadiran permainan komputer (sama ada online haupun offline), begitu juga dengan Playstation selain permainan pada telefon bimbit dan lain-lain.
Permainan yang bakal ditulis, mungkin terdapat beberapa variasi mengikut kawasan atau negeri, sama ada dari segi nama mahupun peraturannya. Akan cuba ditulis mengikut maklumat yang pernah diterima.
Bagus juga sambil dapat mengimbau kembali keseronokan zaman kanak-kanak dahulu. Mungkin ada yang pernah memainkan permainan tersebut, adalah dialu-alukan untuk meberi sebarang komen.
Boleh juga nanti diturunkan kepada generasi baru sekarang ini. InsyaAllah akan sentiasa dikemaskini sekiranya berpeluang berbuat demikian.

Politik yang semakin bercelaru....

Hari demi hari situasi politik negaraku yang tercinta semakin bercelaru. Aku semakin bosan dengan perkembangan politik sekarang. Namun begitu ada juga bagusnya, secara tak langsung, rakyat semakin celik undang-undang. Selama ini rakyat biasa jarang ambil tahu tentang peraturan dewan meskipun undang tubuh negeri masing-masing.

Apabila berlaku kecelaruan ini, nampaklah di mana kelemahan undang-undang ciptaan manusia ini. Pelbagai tafsiran diberikan terhadap klausa yang digunapakai. Para pengamal undang-undang turut memberi tafsiran yang adakalanya bercanggah antara satu sama lain.

Aku berharap agar kemelut ini segera berakhir. Begitu juga semoga rakyat Malaysia akan semakin terbuka mindanya, yang selama ini diselaputi momokan satu pihak sahaja. Aku turut berharap demokrasi akan dilaksana dengan penuh keadilan. Hanya Allah sahaja yang Maha Adil.